[Berita Semasa] Robot kawalan jauh mudahkan kerja kebun, jimat kos

Post Reply
User avatar

Topic author
NakedWife
Site Admin
Site Admin
Posts: 239
Joined: Fri May 01, 2015 11:29 pm
Status: Offline
Australia

[Berita Semasa] Robot kawalan jauh mudahkan kerja kebun, jimat kos

#1

Post by NakedWife » Tue Dec 12, 2017 11:29 pm

Image
Robot Farmo versi kedua (Farmo v2) sewaktu diuji di ladang cili fertigrasi AMM Agrofarm di Changlun, Kedah. ― Foto Bernama


KUALA LUMPUR, 12 Dis ― Bagi Mohd Ashraf Shuib, 36, bidang pertanian sudah sebati dalam diriya kerana sejak kecil lagi membanting tulang membantu keluarga mengusahakan sawah dan ladang getah.

Bahkan selepas tamat pengajian di Universiti Putra Malaysia pada 2005, beliau kembali ke kampungnya di Abi Kampung Tengah, Kangar, Perlis untuk mengusahakan pertanian ‘rock melon’ dan timun menggunakan teknik fertigasi.

Bermula 2015 beliau mengusahakan tanaman pisang dengan menyewa tanah seluas kira-kira sehektar di Padang Lati, Perlis di samping menanam jambu batu secara kecil-kecilan untuk menambah mata pencarian.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains (Pembangunan Manusia) ini juga mengusahakan kedai menjual peralatan perkebunan yang diberi nama Abi Agro.

Kedai ini turut menjual secara maya dalam laman sesawang www.abiagro.com.my.

Untuk berkongsi ilmu serta pengalamannya dalam bidang pertanian, Ashraf bersama sahabatnya yang juga penggiat perkebunan, Izham Alias menghasilkan buku bertajuk "Jimat Dari Dapur" pada 2015 dan ia masih dipasarkan.


Penggunaan teknologi

Bukan setakat itu sahaja yang diusahakan oleh usahawan tani ini. Beliau juga begitu gigih mahu menggalakkan penggunaan teknologi dalam bidang pertanian dalam kalangan petani tempatan.

Satu perkara yang menjadi perhatian berat Ashraf ialah penggunaan racun perosak yang umum mengetahui pendedahan terlalu kerap kepada bahan kimia ini boleh mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan manusia.

“Sebagai petani saya memahami keperluan penggunaan racun serangga selain penjagaan air dan baja. Semburan racun organik atau kimia sekurang-kurangnya sekali seminggu boleh mengurangkan risiko serangan serangga.

“Bagaimanapun, kekurangan tenaga kerja boleh mengakibatkan aktiviti meracun tidak dapat dijalankan dengan sempurna atau mengikut jadual tertentu.

"Di sinilah pentingnya penggunaan robot untuk membantu aktiviti pengurusan kebun,” kata Ashraf dalam wawancara dengan Bernama baru-baru ini.

Beliau dengan bantuan dua rakan, Ahmad Aizhad Abd Razak, 29, dan Mohd Firdaus Ibrahim, 27, kemudiannya berjaya membangunkan robot yang diberi nama ‘Farm Assist Robot For Multi Operation’ (FARMO) yang boleh membantu melaksanakan pelbagai kerja di kebun dan ladang termasuk aktiviti meracun.

Mereka juga bertuah kerana mendapat sokongan kewangan serta kepakaran reka bentuk daripada usahawan tempatan, Jefri Efendi Mohd Salih yang sudah lama berharap petani konvensional tempatan akan berani mencuba teknologi robotik dalam bidang pertanian.

Robot Farmo versi pertama (Farmo v1) dilancarkan pada Oktober 2010 diikuti versi kedua (Farmo v2) tujuh tahun selepas itu pada Ogos 2017 dan terkini, robot versi ketiga (Farmo v3) baru sahaja dilancarkan pada 5 Dis lepas.

Secara keseluruhan, Jefri melabur lebih RM50,000 untuk kerja-kerja Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) bagi ketiga-tiga model Farmo itu.


Fungsi automatik

Fungsi utama Farmo adalah untuk menjalankan kerja-kerja penyemburan racun. Dengan cara ini petani tidak akan terdedah kepada bahan berbahaya ketika melakukan aktiviti berkenaan.

Bagaimanapun, fungsi robot ini juga boleh dinaik taraf dengan pemasangan aksesori tambahan yang membolehkan ia menjalankan kerja memotong rumput, mengangkut hasil kebun dan memantau keadaan kebun menggunakan siaran video.

Farmo bergerak menggunakan sistem kawalan jauh yang membolehkan ia dikawal dalam jarak sejauh 100 meter. Ia juga boleh berputar 360 darjah untuk memberi kemampuan bergerak secara optimum di lapangan.

Penggunaan tayar getah pada Farmo v2 digantikan dengan penggunaan jejak roda bagi Farmo v3 yang membolehkan ia bergerak di atas permukaan konvensional seperti kebun sayur, getah dan kelapa sawit.

Menggunakan teknologi bateri cas semula sebagai sumber kuasa, Farmo boleh digunakan selama dua jam dengan sekali pengecasan.

Dengan kapasiti tangki racun 30 liter, semburan racun boleh dibuat kepada dua barisan tanaman secara serentak. Ini menjimatkan 50 peratus waktu semburan sambil menjimatkan 30 peratus penggunaan bahan semburan kerana proses penyemburan dapat dilakukan dengan lebih sempurna.


Kos petani

“Cabaran terbesar saya membangunkan Farmo adalah untuk mendapatkan reka bentuk dan penggunaan teknologi yang murah untuk membolehkan petani mampu memiliki robot ini. Penggunaan teknologi yang murah adalah elemen penting dalam Farmo,” kata Ashraf.

Tambah beliau, Farmo direka menggunakan komponen yang biasa didapati di pasaran supaya pembeli boleh mendapatkan alat ganti dengan mudah bagi tujuan penyelenggaraan dan pembaikan.

Anggota pasukan Farmo, Mohd Firdaus berkata beliau teruja membangunkan teknologi Farmo bersama Ashraf dan seorang lagi ahli pasukan, Ahmad Aizhad kerana mahu membantu memperkasa sektor pertanian dengan penggunaan teknologi baru.

Beliau, yang berasal dari Johor, sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang Ijazah Sarjana Kejuruteraan Mekatronik di Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) juga berharap penggunaan Farmo dapat diperluaskan di seluruh negara dan seterusnya di peringkat Asia Tenggara.

Ahmad Aizhad, graduan Ijazah Sarjana Muda UNIMAP pula berkata pengalaman membangunkan Farmo benar-benar menguji kemampuan beliau untuk membina robot yang menggunakan 90 peratus komponen buatan dalam negara.

Untuk rekod, Robot Farmo v1 sudah tidak lagi dijual dan yang ada, Farmo v2 dijual dengan harga RM3,999 manakala Farmo v3 boleh didapati dengan harga RM 6,999.

Maklumat lanjut mengenai Farmo boleh dilayari melalui laman sesawang www.farmo-robot.com. Mereka yang berminat untuk membeli robot ini boleh juga membuat pesanan dalam laman sesawang berkenaan.


Cuba nasib

“Melalui tinjauan yang kami lakukan di beberapa komuniti pertanian dalam laman sosial Facebook, konsep Farmo mendapat respon baik para pemilik kebun. Malah ada yang berminat menggunakan Farmo di kebun mereka.

"Kami turut mendapatkan nasihat badan-badan kerajaan seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Malaysian Technology Development Corporation Sdn. Bhd. (MTDC)," jelas Ashraf.

Untuk mendapatkan geran bagi mengembangkan lagi pembangunan Farmo, Ashraf dan pasukannya membawa robot berkenaan menyertai beberapa pertandingan dan pameran teknologi.

Ogos lepas mereka layak ke peringkat akhir Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB) Siri Kedua tahun 2017. Walaupun tewas, Ashraf tidak berputus asa dan menyertai siri ketiga skim itu yang berlangsung pada 13–18 Nov lepas dan cuma layak ke peringkat separuh akhir.

Farmo juga menyertai beberapa pameran teknologi di ibu negara. Pada 16 Sept lepas ia dipamerkan pada program Jom Launch 5.0 yang berlangsung di TM Convention Centre, Kuala Lumpur.

Robot ini turut mengambil bahagian sebagai bahan pameran di ‘National Innovation and Creative Economy Expo’ (NICE) 2017 yang berlangsung Oktober lepas di Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Selain itu, ia menarik minat beberapa portal tempatan berasaskan sains dan teknologi seperti Amanz.my dan Otakit.my untuk membuat liputan mengenainya.

“Bagi kami, bantuan geran amat perlu untuk kami mencipta robot pertanian yang lebih baik. Semoga dengan adanya bantuan teknologi seperti Farmo dapat menarik lebih ramai golongan belia untuk menceburi bidang pertanian dan menjadikan ia satu profesion yang dipandang tinggi oleh masyarakat,” ulas Ashraf pada akhir temu bual dalam talian bersama Bernama. — Bernama






sumber: http://www.themalaymailonline.com/proje ... 0mUf0Dx.99





.



Forexmart